Blog ini telah bertukar alamat ke www.pemudapasperak.com

Blog ini telah bertukar alamat ke www.pemudapasperak.com

Thursday, May 6, 2010

PM dituntut perjelas serah Wilayah pada Brunei

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dituntut mendedahkan kepada awam semua perrhubungan antara Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei.

Ketika membuat tuntutan tersebut, pemimpin PAS yang juga exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa juga meminta perdana menteri mendedahan semua keputusan kabinet mengenai perkara itu.

"Atau menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang bebas dan telus untuk menyiasat isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husam berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara ini kejadian yang sama berlaku selepas negara merdeka.

"Maka, demi kepentingan negara dan kepentingan awam, kejujuran, keterbukaan dan ketelusan oleh kabinet dan perdana menteri adalah sangat diperlukan," tegasnya.

Katanya, tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat unilateral dari kerajaan pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak implikasi kepada negara.

"Satu darinya ialah integriti dan kedudukan Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan Petronas.

"Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.

"Saya berharap ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan, termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes ini di mahkamah.

"Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk membahaskan isu ini," tambahnya.

Menurut Husam lagi, kedaulatan wilayah adalah penting untuk setiap negara dan sepanjang sejarah, banyak perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah mengakibatkan perang.

'Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini," tegasnya.

Berasaskan latarbelakang ini, tambah Husam, pendedahan tentang urus keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan.

"Tidak kira betapa berkuasanya seseorang perdana menteri itu, namun Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang perdana menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara lain sama ada di daratan atau lautan.

"Perbuatan demikian adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah," tegas Husam lagi.

Malaysiakini/-


Serah dua telaga minyak suatu penderhakaan

Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara.

Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan.

Perkara 2 juga,membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, saya menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, saya juga ingin turut mempersoal tindak-tanduk kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan.

Saya bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS,
Ahli Parlimen Pokok Sena.

0 Comments:

 

Hakcipta@2008 Dewan Pemuda PAS Perak